UMMI

HOORAY RINGAN BEBAN

 
Oleh: ASMAH RUSMAN
 

Petaling Jaya: Bagi mengurangkan beban ibu bapa dan keluarga kurang berkemampuan, Yayasan Kemajuan Masyarakat Malaysia (YKMM) melancarkan Karnival Hooray Kembali ke Sekolah bermula November ini.

Melalui karnival itu, dianggarkan 200,000 kupon bernilai RM180 setiap satu akan ditebus dalam siri jelajah karnival yang diadakan di lima lokasi iaitu di Johor, Kelantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak.

Presiden YKMM Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pembelian kupon berkenaan boleh dibuat melalui pihaknya dan akan diberikan pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kami juga menggalakkan mana-mana badan korporat, agensi kerajaan, syarikat swasta atau badan bukan kerajaan untuk membeli dan mengedarkan sendiri kupon berkenaan kepada badan kebajikan atau keluarga miskin terpilih.

“Dengan kupon bernilai RM180 itu, pelajar berkenaan boleh menebus set kelengkapan barangan sekolah yang mengandungi dua set pakaian sekolah, stoking, kasut, beg sekolah dan alat tulis,” katanya.

Menurutnya, karnival dengan kerjasama Balqis Textiles & Manufacturing dan Hud Hud Media Sdn Bhd itu turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan.

Di majlis sama, YKMM memeterai perjanjian persefahaman yang disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd (MHSB), Shaharuddin Mohamed dengan Balqis Textiles & Manufacturing yang diwakili pengerusinya Datuk Syed Mohammed Izhaar, Hud Hud Media Sdn Bhd diwakili pengurusnya Mohamad Syakir Iman Johan Nawawi dan Virtus Mediaset Asia Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Operasinya Yusmaliza Muhamad Yusof.

Katanya, karnival yang diadakan tiga hari berturut-turut di setiap lokasi itu membabitkan lebih 100 gerai jualan terdiri daripada ibu tunggal, usahawan industri kecil dan sederhana serta peniaga atas talian.

“Pengunjung yang hadir pada karnival itu berpeluang mendapatkan barangan keperluan sekolah pada harga diskaun,” katanya.

- HARIAN METRO

BACK